|
BERIKUT
ADALAH USUL-USUL YANG DILULUSKAN DALAM
PERSIDANGAN
PERWAKILAN TRITAHUNAN UPKO KALI KE-12
USUL MENGKAJI BALIK AKTA KESELAMATAN DALAM
NEGERI (ISA)
Persidangan ini mengambil ketetapan untuk
membuat syor kepada kerajaan supaya
Undang-undang Isa dikaji semula supaya ia
lebih menepati sasaran yang sebenar dan
bukan terhadap semua jenis kesalahan.
USUL MENGHENTIKAN PROJEK PEMBINAAN
SALURAN PAIP GAS DARI KIMANIS KE BINTULU
(a) Persidangan membuat ketetapan
untuk meminta Perdana Menteri supaya
bertegas dengan keputusannya untuk
membatalkan projek pembinaan paip gas dari
Kimanis ke Bintulu supaya projek carigali
dan gas boleh dibangunkan di Sabah; dan
(b) Mencadangkan supaya loji gas dan
minyak di Sabah dibina di Kimanis ataupun
dengan mencadangkan supaya saluran paip gas
tersebut dipaipkan ke Tawau atau Sandakan
dengan menggunakan peruntukan 1.5 billion
yang dicadangkan untuk membina paip gas dari
Kimanis ke Bintulu.
USUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA
KADAZANDUSUN
Persidangan membuat ketetapan-ketetapan
berikut:
1) Supaya Bahasa Kadazandusun
dijadikan sebagai satu subjek wajib bagi
semua pelajar di sekolah-sekolah Kerajaan di
peringkat sekolah rendah dan peringkat
sekolah menengah di Negeri Sabah;
2) Supaya Bahasa Kadazandusun mesti
diajar dalam masa sekolah dan bukan di luar
masa sekolah;
3) Supaya pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan
Negeri Sabah menggalak dan memperuntukkan
sumber kewangan yang mencukupi untuk program
penulisan dan penerbitan buku-buku pelajaran,
aktiviti, bacaan dan rujukan dalam Bahasa
Kadazandusun untuk kegunaan pelajar-pelajar
di sekolah;
4) Supaya Kerajaan menyedia dan
menawarkan kursus pengkhususan Bahasa
Kadazandusun di maktab-maktab dan
Institusi-institusi Latihan Perguruan di
Sabah untuk meningkatkan bilangan
guru-guru Bahasa Kadazandusun di
sekolah-sekolah kerajaan; dan
5) Supaya Kerajaan melalui
Kementerian Pendidikan Malaysia menepati
janjinya untuk memberi elaun khas kepada
guru-guru yang mengajar subjek Bahasa
Kadazandusun di sekolah-sekolah Kerajaan.
USUL PENGELUARAN KAMPUNG DARIPADA KAWASAN
UNIT PENGURUSAN HUTAN (FMU) DI SABAH
Persidangan membuat ketetapan-ketetapan
berikut:
1) Supaya Kerajaan Negeri menunaikan
janjinya untuk mengeluarkan kampung-kampung
dan kawasan-kawasannya daripada
kawasan-kawasan FMU dan memberikan
kemudahan-kemudahan untuk mempertingkatkan
taraf hidup penduduk-penduduk yang terbabit;
dan
2) Supaya Kerajaan Negeri
memperkenalkan semula polisi yang
mempertahankan kampung-kampung tradisional
yang terdapat di pinggir hutan simpanan,
terutama mereka yang tinggal dalam
kawasan-kawasan FMU.
USUL KEWARGANEGARAAN
Persidangan membuat ketetapan supaya
Kerajaan Barisan Nasional menubuhkan
Suruhanjaya Siasatan Diraja Menangani
Pelbagai Isu dan Permasalahan Yang Timbul
Akibat Kehadiran Pendatang Tanpa Izin di
Sabah dengan terma-terma seperti berikut:-
1. Menyiasat dakwaan yang telah
dibuat oleh Encik Asinar Bin M.P. Ebrahim @Hassanar
Bin Haji Ebrahim, bahawa wujud satu Projek
memberi kad-kad pengenalan kepada Pendatang
Tanpa Izin di Sabah, melalui pengakuan
bersumpah di makhamah, semasa perbicaraan
petisyen pilihanraya Likas; melalui satu
surat daripada beliau kepada Mutalib M.D
bertarikh 3 Februari 2000; melalui surat
beliau kepada Pemangku Ketua Polis Negara
pada 02 Mac 1999; dan melalui surat terbuka
beliau kepada Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed
selaku Perdana Menteri bertarikh 02 Mac
1999;
2. Menentukan berapakah bilangan dan
senarai nama mereka yang telah diberikan kad
pengenalan melalui projek IC;
3. Mengenalpasti di manakah orang-orang,
suami atau isteri serta anak-anak mereka
yang telah diberikan kad-kad pengenalan
melalui projek IC;
4. Mencadangkan prinsip-prinsip;
dasar-dasar serta langkah-langkah
penyelesaian terhadap masa depan pemegang
kad-kad pengenalan yang diberikan melalui
projek IC;
5. Menyiasat dan mengkaji sistem dan
urustadbir pemberian kewarganegaraan di
Malaysia serta mengenal pasti
kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki
dan dikemaskini;
6. Menentukan bilangan sebenar dokumen
IMM13 yang diberikan kepada pelarian
Filipina oleh Jabatan Imigresen;
7. Mengkaji ciri-ciri keselamatan yang
terdapat dalam dokumen IMM13 sama ada boleh
atau tidak dipalsukan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab;
8. Mencadangkan prinsip-prinsip,
dasar-dasar serta langkah-langkah
penyelesaian muktamad masa depan pemegang
dokumen IMM13 di Sabah; dan
9. Mengkaji dan menentukan bilangan
sebenar penempatan ataupun perkampungan yang
didiami oleh pemegang dokumen IMM13 dan juga
pemegang kad-kad Pengenalan Projek IC.
USUL KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN PEKEBUN
KECIL GETAH
Persidangan membuat ketetapan supaya
Kerajaan Negeri mengkaji semula peranan
Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dalam
memberi perkhidmatan dan bantuan kepada
pekebun kecil getah. Jika perlu, Enakmen
LIGS harus dikaji terutama sekali dalam
hal-hal perlesenan pembelian getah daripada
pekebun kecil. Monopoli dalam pembelian
getah hendaklah dihentikan. Sebaliknya,
harga getah hendaklah dibeli daripada
pekebun kecil setara dengan harga getah SMR
seperti yang dinikmati oleh pekebun kecil
getah di Semenanjung Malaysia.
USUL DASAR KEPENGGUNAAN TANAH
BERKECERUNAN 25 DARJAH
Persidangan membuat ketetapan sebulat suara
meminta Yang Amat Berhormat Ketua Menteri
Sabah supaya mengambil langkah-langkah
positif termasuklah menghapuskan dasar 25
darjah tersebut terutama sekali para pemilik
tanah adat yang bergantung sepenuhnya kepada
tanah tersebut untuk mendapat nafkah dan
pendapatan untuk menyara hidup keluarga.
Pihak kerajaan Negeri seterusnya hendaklah
mengambil langkah-langkah tertentu untuk
mewartakan keputusan tersebut.
USUL
PENGELUARAN KAMPUNG DARIPADA KAWASAN TADAHAN
AIR DI SABAH
Persidangan membuat ketetapan-ketetapan
berikut:
1) Supaya Kerajaan Negeri meneliti
balik keadaan persekitaran dan kesesuaian
semua tempat cadangan kawasan perlindungan
air di seluruh Negeri Sabah sebelum
digazetkan sebagai kawasan tadahan air; dan
2) Supaya penempatan-penempatan yang
kini telah menjadi kawasan perkampungan
tetap dan mempunyai sistem pentadbiran yang
lengkap seperti Ketua Kampung dan JKKK harus
dikeluarkan daripada kawasan tadahan air dan
memberikan kemudahan-kemudahan untuk
mempertingkatkan taraf hidup
penduduk-penduduk berkenaan.
|