|
Madius cadangkan pelarian pegang IMM13
dipindah ke SM
Monday, 2 July, 2007 ( Source: New Sabah Times)
TAWAU: Pelarian Perang Filipina yang memegang dokumen IMM13 di negeri ini
adalah lebih wajar dipindahkan ke Seme-nanjung Malaysia iaitu dari Perlis
ke Johor, jika mereka diberikan status Pen-duduk Tetap (PR) oleh Kerajaan
Perse-kutuan.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau (gambar) berpendapat, ini
kerana walaupun telah lebih 30 tahun berada di negeri ini, mereka dilihat
masih tidak dapat menyesuaikan diri atau mempunyai semangat nasionalisme
terhadap negara ini.
Perkara itu terjadi katanya kerana golongan pelarian terbabit sering
berulang-alik ke negara asal mereka terutamanya yang tinggal di Pantai
Timur Sabah seperti di Sandakan, Tawau dan Semporna, berikutan lokasi
negeri ini yang berdekatan dengan Filipina.
“Itulah yang dikhuatirkan oleh rakyat Sabah. Jika mereka diberi status PR,
selepas beberapa tahun mereka telah layak untuk memohon menjadi
warganegara ini dan mungkin permohonan mereka akan diluluskan.”
“Tetapi persoalannya, jika mereka diterima menjadi warganegara, di manakah
pula kesetiaan orang-orang ini? Mungkin sebelah hati mereka di Malaysia,
tetapi sebelah lagi di Filipina sebab sering berulang-alik ke sana,”
katanya.
Berikutan itu katanya, cadangan supaya ribuan pelarian itu dipindahkan ke
Semenan-jung Malaysia adalah supaya mereka dapat dipupuk dengan budaya dan
adat resam masyarakat, serta semangat patriotik rakyat di negara ini.
Ini kerana ujarnya, golongan itu tidak lagi akan dapat berulang-alik ke
negara asal mereka ekoran lokasi yang jauh dan kos yang tinggi.
Dalam masa yang sama katanya, majikan di negara ini juga tidak lagi perlu
untuk mengimport pekerja asing dari luar dan membayar levi atau sebagainya,
sebaliknya boleh menawarkan pekerjaan kepada golongan tersebut.
Golongan itu pula jelasnya akan turut mendapat manfaat dengan adanya
tawaran pekerjaan, sekaligus akan dapat memulakan hidup baru mereka di
negara ini.
“Untuk makluman, saya pernah memberikan cadangan ini kepada rakan-rakan
Ahli Parlimen di Semenanjung dan mereka tidak mempunyai halangan. Ini
bukan main-main punya cadangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kovensyen UPKO di
Auditorium Perpustakaan Tawau, Sabtu lepas.
Namun yang demikian, semasa ditemui Madius turut berpendapat yang beberapa
dasar muktamad perlu terlebih dahulu diputuskan oleh kerajaan sebelum
sebarang keputusan tentang status pemberian PR kepada pelarian perang
Filipina diambil.
Dasar muktamad itu katanya ialah pertama, tentang jumlah sebenar pelarian
perang di negeri ini berikutan beliau sering mendapat maklumat yang
berbeza-beza dan kedua, kedudukan sebenar pelarian perang berkenaan.
Tanpa adanya dasar muktamad itu, pegawai-pegawai kerajaan ujarnya, sukar
membuat keputusan tentang pelbagai masalah seperti yang berhubung kait
dengan pelarian perang berkenaan seperti masalah ‘street children’,
perumahan setinggan dan sebagainya.
Berikutan itu katanya, di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau telah pun
menghantar satu notis kepada Speaker Dewan agar satu perbahasan dibenarkan
bagi membincangkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri
Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Notis itu katanya, dibuat di bawah Peraturan 18 (1) iaitu untuk
menangguhkan Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara-perkara tertentu yang
melibatkan kepentingan umum yang perlu disegerakan.
Jika dibenarkan katanya, satu perbahasan akan dibuat pada minggu ini,
untuk menjernihkan isu kenyataan Nazri yang telah mendatangkan kekeliruan
kepada rakyat dan pemimpin di negeri Sabah tentang pemberian status PR
kepada pemegang IMM13.
Di Dewan Rakyat minggu lalu, Nazri yang menjawab soalan Madius dilaporkan
berkata, bagi tempoh jangka masa panjang kerajaan bercadang memberi status
PR kepada pe-megang IMM13 yang merupakan pelarian perang Filipina di
negeri ini.
Kenyataannya itu telah menjadi isu hangat di media-media massa apabila
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman sendiri memberitahu yang Kerajaan
Negeri tidak pernah dibawa berbincang mengenai perkara itu.
|